Wednesday, August 5, 2009

DEMONSTRASI MANSUH ISA....

Himpunan Mansuh ISA aman jika polis beri kerjasama – JIM

polis

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Himpunan Mansuh ISA Sabtu lalu akan berlangsung dengan aman seandainya pihak polis turut terlibat menjayakannya. Pandangan tersebut dilontarkan oleh Presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM), Zaid Kamaruddin dalam satu sidang media yang diadakan pagi tadi.

“Dalam negara yang bertamadun, polis membantu menjayakan perhimpunan aman. Pihak polis akan berkawal agar perhimpunan berjalan dalam keadaan baik dan teratur. Kawalan keselamatan dan pergerakan kenderaan diatur dengan baik. Sekatan jalanraya di jalan-jalan masuk ke Pusat Bandaraya ada tidak perlu. Mengejar rakyat yang tidak bersenjata adalah tidak perlu. Mendera rakyat dengan tembakan pemedih mata dan simbahan air asid adalah tidak perlu dan keterlaluan,” kata beliau.

zaidBagi Zaid (kanan), perhimpunan tersebut berjalan dalam suasana yang aman walaupun ada halangan daripada pihak berkuasa.

“Tidak ada sekeping cermin tingkap pun yang pecah, yang dilaporkan setakat ini, melainkan cermin sebuah kereta yang pecah angkara terkena kelongsong gas pemedih mata yang dilepaskan oleh polis. Tidak ada kenderaan yang diterbalikkan. Tidak ada tayar yang dibakar di tengah-tengah jalan,” tambah beliau.

Sebaliknya, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disifatkan zalim kerana tidak memberikan hak kepada tahanan untuk membela diri di mahkamah bebas.

Zaid berkata, kezaliman ISA juga terbukti kerana tempoh penahanannya tiada had dan penahanan yang dilakukan tidak berasaskan pembuktian.

“Walaupun asalnya akta ini bertujuan menangani kebangkitan bersenjata, namun kini ia telah disalahgunakan untuk tujuan politik seperti dalam penahanan DS Anwar Ibrahim, Teresa Kok, Dato’ Ahmad Sebi, DS Zahid Hamidi, Dato’ Zambry, Ahmad Azam, YB Mohd Sabu, YB Saari Sungib dan ramai lagi. Tidak pelikkah, mereka yang dianggap pengancam keselamatan negara kini berada dalam pemerintahan negara?” ujar Zaid.

Tegas beliau, ISA juga telah digunakan untuk tujuan yang pelik-pelik seperti penahanan mereka yang dituduh terlibat memalsukan kad pengenalan, mengklon telefon, melindungi pendatang tanpa izin dan memalsukan wang.

“Oleh kerana tuduhan seperti ini mudah dibuktikan untuk pendakwaan di mahkamah, penggunaannya menimbulkan keraguan tentang keselamatan siapa yang sebenarnya dilindungi,” tambahnya.

harlinaBerhubung isu yang sama, Ketua Wanita JIM, Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj (kiri) dalam satu kenyataannya berkata, penahanan puluhan wanita dan kanak-kanak dalam perhimpunan tersebut adalah satu tindakan yang amat tidak wajar memandangkan mereka bukanlah golongan yang berkelakuan ganas atau mencetuskan huru-hara.

Menurut beliau, wanita dan kanak-kanak adalah golongan yang sepatutnya dilindungi dan dijaga kebajikan mereka dalam sebarang suasana terutamanya dalam situasi yang tegang.

“Golongan wanita dan kanak-kanak yang ditahan baru-baru ini merupakan sekelompok rakyat biasa yang ingin menggunakan hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan Malaysia, untuk berhimpun secara aman bagi menyuarakan keprihatinan dan sokongan mereka terhadap usaha memansuhkan akta kejam ISA,” ujar Harlina.

Selain itu, beliau turut menggesa pihak kerajaan agar memansuhkan ISA yang memberikan kesan yang amat negatif kepada keluarga tahanan terutamanya para isteri dan anak-anak yang masih bergantung kepada suami dan bapa mereka.

“Penahanan tanpa bicara di bawah ISA memisahkan para suami dan bapa daripada keluarga mereka tanpa sebarang pembelaan. Isteri dan anak-anak yang ditinggalkan tertanya-tanya apakah sebenarnya kesalahan suami dan bapa kesayangan mereka sehingga dipenjarakan bertahun-tahun lamanya. Tiada mahkamah yang mengadili mereka, tiada pembuktian ke atas tuduhan melulu yang dikenakan, tiada tempoh dan had masa hukuman yang ditetapkan yang menjadikan keluarga tahanan ISA hilang punca dan ditinggalkan meraba-raba dalam kegelapan dan ketidakpastian,” tegas beliau.

No comments:

Post a Comment

Pls fill the form to make an order. TQ

Name:
Email Address:
Contact No:
Order Item:
Delivery Adress:
REMARKS:

Get your own free form like this one.