Wednesday, August 12, 2009

BUBUR ASYURA- Asal usul & pengajaran

Perkara yang sering menjadi adat dikalangan kita ialah memasak BUBUR ASYURAA'. Hal ini disandarkan kepada peristiwa Nabi Allah Nuh as.

Disebutkan dalam kitab Nihayatuz Zain (halaman 196 Syeikh Nawawi Al-Banteni), Kitab Nuzhatul Majalis (halaman 172 Syeikh Abdur Rahman Al-Ushfuri), Kitab Jam'ul Fawaid ( halaman 132 Syeikh Daud Al-Fathoni) bahawasanya ketika mana bahtera Nabi Nuh as berlabuh di bukit Juudi pada hari Asyuraa maka berkatalah baginda kepada umatnya :

"Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih, maka dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila' iaitu kacang ful dan satu genggam kacang Adas dan Ba'ruz dan tepung dan kacang Hinthoh sehingga menjadi tujuh jenis biji bijian yang dimasak"

"Maka berkata Nabi Nuh as : Masaklah sekaliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang".

Maka berdasarkan kisah inilah sebahagian kaum muslimin menjadikan makanan mereka itu daripada biji bijian yang dinamakan BUBUR ASYURAA' (bubur yang dimasak sempena hari kesepuluh dalam bulan Muharam). Dan itulah masakan yang pertama dimasak di atas permukaan bumi setelah berlakunya banjir besar dan taufan yang melanda bumi. Syeikh Ibn Hajar Al Asqolani bersyair dengan katanya

في يوم عاشوراء سبع تهرس بر أرز ثم ماش عدس

وحمص ولوبيا والفول هذا هو الصحيح والمنقول

Maksudnya : Pada Hari Ayuraa' terdapat tujuh yang dimakan iaitu Gandum (tepung) Beras, kemudian Kacang Mash (kacang kuda) dan Kacang Adas (kacang dal).

Dan Kacang Himmash (kacang putih) dan Kacang Lubia ( sejenis kacang panjang) dan kacang Ful. Inilah kata-kata yang sohih dan manqul (yang diambil dari kata-kata ulamak).

Daripada apa yang dibahaskan di atas, maka dilihat bahawa sejarah BUBUR ASYURAA' ini diambil daripada peristiwa arahan dan perintah Nabi Nuh as kepada umatnya ketika dahulu.

Oleh itu, Adakah salah bagi kita mengambil apa yang dilaksanakan oleh umat terdahulu dan apa yang diarahkan oleh Nabi Nuh as kepada umatnya untuk kita pula laksanakannya?

Perkara ini bukanlah termasuk dalam hukum hakam yang ada nasakhnya dalam Syariat Islam. Ianya hanya kisah dan peristiwa yang perlu diambil iktibar dan dihayati oleh umat manusia dan seterusnya beriman dan menghampirkan diri kepada Allah swt dengan sebenar-benar taqwa.

Andai ia arahan tadi merupakan suatu perintah, maka kita mengatakan ia merupakan Ash Syar'uu Man Qablana iaitu perkara syariat yang berlaku pada zaman dan umat terdahulu yang tidak dinasakhkan untuk menjadikan iktibar dan panduan hidup berterusan umat akan datang.

Maka BUBUR ASYURAA' merupakan salah satu daripada perkara yang disebutkan sebagai Ash Syar'uu Man Qablana yang boleh kita amalkan dalam kehidupan kita dan ia tidaklah di anggap sebagai suatu BIDAAH.

Tanggapan sebahagian orang yang mengatakan perkara ini BIDAAH dan adat semata-mata adalah tidak benar. Adat juga boleh menjadi Ibadah andai perkara seperti memasak BUBUR ASYURAA' ini kita jadikan sebagai amalan untuk mengingati dan menghayati peristiwa yang berlaku di zaman Nabi Nuh as. Kerana kelalaian dan lupa dengan tuntutan beragama, dan di sebabkan menuruti kehendak nafsu yang rakus, maka Allah tenggelamkan mereka sehingga tiada suatu pun yang tinggal dan disimpan untuk dimakan melainkan sedikit sahaja.

Maka tidak salah kita adakan Majlis Memasak BUBUR ASYURAA' dengan penghayatan tersebut dan bertujuan untuk memberi makan kepada keluarga, faqir miskin yang sangat memerlukan dan menjamu orang yang berbuka puasa dan sebagainya. Ia akan dihitung sebagai Ibadah yang mulia disisi Allah swt insyaallah.

No comments:

Post a Comment

Pls fill the form to make an order. TQ

Name:
Email Address:
Contact No:
Order Item:
Delivery Adress:
REMARKS:

Get your own free form like this one.